KUALA LUMPUR , 26 Jan—Seniman veteran versatil kesayangan ramai, Datuk Hj. Baharuddin Hj Omar atau dikenali sebagai Anjang Aki , 81, yang berjuang di dalam industri seni dari awal 70an dan terkenal menerusi drama, filem dan teater tanahair telah dimasukkan ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Wangsa Maju, di sini sejak Selasa lalu.
Menurut isterinya Datin Nazariah Abu Bakar suaminya berada di hospital selama tiga hari memandangkan keadaan beliau belum stabil . Ini kerana suaminya sering kali merasa pening ketika bangun tidur atau lebih dikenali sebagai ‘vertigo’ akibat hilang kesimbangan badan dan mengalami masalah lemah badan.

Tambah beliau lagi, sehingga hari ini doktor belum dapat memastikan lagi jenis penyakit yang dihidapinya dan masih menjalani proses rawatan susulan. Namun , suaminya masih boleh bergurau senda dengan kami sekeluarga,’ katanya.

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bersama Presiden dan Ahli Jawatankuasa Persatuan Seniman Malaysia telah mengadakan lawatan mesra serta memberi sumbangan berupa wang tunai kepada pelakon Anjang Aki. Pemberian sumbangan itu telah di sampaikan oleh Pengerusi FINAS ,YB Dato’ Mohd Khusairi Abdul Talib diiringi oleh Ketua Pengarah FINAS, Dato’ Fauzi Ayob, Timbalan Ketua Pengarah FINAS , Encik Azmir Saifuddin Mutalib, pegawai-pegawai tertinggi FINAS, Presiden Seniman, Zed Zaidi dan ahli-ahli Jawatankuasa Persatuan Seniman.

Beliau juga merupakan bekas Mantan Presiden Seniman Malaysia yang Ke-2 selama 3 penggal dari tahun 1978-1984 selain pernah menjadi Ahli Perbadanan FINAS dan Ahli Lembaga Penapisan Filem. Memulakan kerjaya awal melalui drama ‘Tanah Pusaka’ (1967), Perajurit Pulang (1968) dan Bangsawan (1970) dan terus diingati sehingga kini menerusi drama bersiri “Anjang Aki” pada tahun 1981 terbitan RTM tulisan Al-Bahar arahan Hj. Aziz Abbas, bekas pesara tentera yang pernah berkhidmat sebagai Penerbit Radio di RTM pada tahun 70an ini juga membintangi filem-filem hebat seperti Kisah Seorang Biduan, Darah Satria, Dia Ibuku, Irisan-Irisan Hati, Abang, Ali Setan II selain projek penerbitan filem antarabangsa dari Jepun dan Australia. Selain itu nama beliau pernah tercatat dalam Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-2 (1981) apabila lakonan hebatnya di dalam filem Dia Ibuku telah menerima pencalonan di dalam Kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.
Pihak FINAS mendoakan agar Datuk Hj. Baharuddin Hj. Omar diberi kesihatan yang baik dan terus sembuh dari penyakit yang dihidapi.

© 2017 Finas Media, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia
Gambar : Jurufoto Media