Oleh : Amy Ikram
Gambar: Zara

KUALA LUMPUR, 17 Jan- Seramai 30 orang artis termasuk penggiat seni belakang tabir yang berusia dalam lingkungan 60 tahun ke atas menerima sumbangan berbentuk wang tunai sempena perayaan Tahun Baru Cina dan Krismas bagi tahun 2017.

Sumbangan bernilai RM60,000.00 itu diberikan kepada 30 orang artis dari pelbagai kaum dalam satu majlis khas anjuran Yayasan Artis 1 Malaysia (YA1M) telah diadakan di Kelab Di Raja Selangor.

Ketika berucap merasmikan majlis tersebut, Dato’ M. Nasir, selaku Naib Pengerusi YA1M berharap, ‘sumbangan tersebut mampu mengurangkan kos perbelanjaan hidup golongan artis dan anak seni terpilih kerana mereka pernah menyumbangkan sesuatu yang berharga buat industri seni tanahair. Sumbangan ini merupakan kali kelima dianjurkan oleh YA1M untuk membantu golongan seni dan penggiat belakang tabir’.

Selain dari sumbangan untuk Tahun Baru Cina dan Krismas, turut berlangsung juga penyampaian bantuan khairat dan badal haji kepada wakil wakil ahli khairat YA1M, di mana ahli khairat YA1M ini terdiri dikalangan penggiat seni tanahair yang telah kembali kerahmatullah.

Majlis yang berlangsung dengan jayanya ini turut dihadiri oleh Datuk Yusof Haslam, Dato’ Nancie Foo, Dato’ A.Rahman Hassan, Encik A.Galak, rakan artis YA1M, dan rakan media.

© 2017 Finas Media, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia.