Petaling Jaya, 29 Mac – Tayangan Perdana filem Bomba pertama Malaysia bergenre aksi, cinta, persahabatan dan kekeluargaan, ‘Qhaliq’ terbitan Ohhsem Network Sdn. Bhd. telah diadakan di MM Cineplex, Mutiara Damansara malam tadi. Filem arahan Rosli Mohd Taib ini bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 5 April 2018.

Filem dengan kerjasama Ahmad Idham Film Academy ini menampilkan Hairul Azreen sebagai Qhaliq yang bercita-cita untuk menjadi seorang anggota Bomba walaupun impiannya itu ditentang oleh keluarga. Filem ini turut dibarisi oleh Aliff Yasraff, Nur Risteena Munim, Ahmad Idham, Syainie Aida dan ramai lagi.

Turut hadir pada tayangan ini ialah YBhg. Puan Sri Noor Aishah Faritah bt. Abu Bakar, isteri kepada YB Tan Sri Noh b. Hj. Omar, YBhg. Dato’ Sri Hj. Mohammad b. Mentek, Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), YBhg. Tuan Hj. Zamri Salleh, Timbalan Ketua Setiausaha Kesejahteraan Bandar KPKT, YBhg. Dato’ Indera Khairul Dzaimee b. Daud, Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan KPKT, YBhg. Dato’ Sri Hj. Wan Mohd Nor b. Hj. Ibrahim, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), YBhg. Dato’ Hj. Noor-Ihsan b. Hj. Che Mat, Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan KPKT, para penggiat industri dan rakan-rakan media.