Hulu Kelang, 27 Mac – YB Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia hari ini merasmikan kenderaan khas bagi Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) di Dataran Karyawan FINAS.

Rozaidi Jamil (Zed Zaidi), Presiden SENIMAN dalam ucapannya amat menghargai dan mengucapkan terima kasih kepada pihak KKMM dan FINAS khasnya atas sokongan dan kerjasama dalam menjayakan pelbagai program sosial bersama Seniman sebelum ini.

Kenderaan khas iaitu sebuah van jenama Westar Maxus dengan nombor pendaftaran US 514 yang berkapasiti lima belas (15) orang ini merupakan inisiatif Presiden Seniman, Rozaidi Jamil (Zed Zaidi) untuk memberi kemudahan pengangkutan kepada ahli bagi melaksanakan apa-apa program berkaitan Persatuan SENIMAN di masa hadapan.

Turut hadir dalam Majlis Pelancaran Kenderaan Khas Seniman petang tadi ialah YB Dato’ Mohd Khusairi Abdul Talib, Pengerusi FINAS, YBhg. Dato’ Mohd Fauzi Ayob, Ketua Pengarah FINAS, Dato’ Azmir Saifuddin Mutalib, Timbalan Ketua Pengarah FINAS, Ahli-ahli Perbadanan FINAS, presiden-presiden persatuan, penggiat industri seni dan pihak media.