25 Ogos 2017, Putrajaya – Lebih 4, 000 peserta telah menyertai acara jalan kaki Gemilang Walk bersama-sama YBhg. Tan Sri Dr. Ali Hamsa, Ketua Setiausaha Negara menjelang hitungan detik 31 Ogos 2017. Gemilang Walk merupakan antara 12 program utama yang dilaksanakan secara kerjasama strategik dengan 24 buah Kementerian yang turut disertai oleh Ketua-ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua-ketua Jabatan dan agensi serta penjawat awam sekitar Putrajaya dengan penglibatan sebanyak 25 buah kontinjen. Acara pelepasan Gemilang Walk telah disempuranakan oleh YBhg. Dato’ Samsuni Mohd Nor, Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Gemilang Walk anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia melibatkan laluan sejauh 1.6 km bermula daripada Dataran Putrajaya, Presint 3 dan berakhir di Dataran Gemilang, Presint 4. Turut diadakan adalah penyerahan logo 1Malaysia Negaraku oleh YBhg. Dato’ Sri Zainal Rahim Seman, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam kepada YBhg. Tan Sri Dr. Ali Hamsa. Gemilang Walk disemarakkan dengan acara menaikkan bendera Jalur Gemilang, nyanyian Lagu Negaraku serta persembahan flash moboleh Jabatan Penerangan Malaysia.
Kemuncak sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini yang bertemakan Negaraku Sehati Sejiwa adalah acara perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan 2017 yang akan diadakan di Dataran Merdekapada 31 Ogos 2017. Manakala Karnival Hari Malaysia akan diadakan tiga hari bermula 15 September hingga 17 September di Kompleks Likas, Kota Kinabalu, Sabah bersempena sambutan Hari Malaysia pada 16 September 2017.

Acara tersebut turut dihadiri YBhg. Dato’ Sri Dr. Sharifah Zarah Syed Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia , YBhg. Dato Fauzi Ayob, Ketua Pengarah FINAS dan YBhg. Dato Azmir Saifuddin Mutalib, Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan FINAS.