Bandar Melaka, 2 Ogos – YBhg. Dato’ Suriani Dato’ Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) telah merasmikan Program Pameran Caring Bridge, Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2019 sempena Sambutan Kibar Jalur Gemilang. Program yang berlangsung bermula 2 hingga 4 Ogos 2019 ini telah diadakan di Dataran Pahlawan, Melaka, ini adalah merupakan satu hebahan inisiatif tentang penyediaan perkhidmatan dan tawaran yang disediakan oleh KKMM, FINAS dan agensi melalui platform digital.

Di antara pengisian program yang diadakan sepanjang program tersebut telah memberi fokus kepada pembangunan komuniti filem di kalangan masyarakat setempat melalui komponen modal insan, promosi dan pendidikan di booth FINAS termasuklah #EksplorasiSinema melalui Interaktif Gaming Kahoot, #PromoSinema melalui promosi filem Boboiboy 2, #LensaFINAS melalui aktiviti pembangunan khazanah filem melalui Industri MOMI Showcase, Mediateaque dan tayangan filem dokumentari terbitan FINAS. Turut bersama-sama hadir menyokong program di booth FINAS ialah pelakon dan pelawak, Atu Zero yang berkongsi pengalamannya melalui program #SembangSkrin selain jaringan bakat komuniti menerusi #LensaSkrin. YBhg. Dato’ Suriani Dato’ Ahmad, Ketua Setiausaha KKMM sempat meluangkan masa melawat booth FINAS dan berkesempatan menggunakan portal carian bahan arkib FINAS melalui perkhidmatan Integrated Library System yang kini sedang digunakan di Unit Mediateaque, FINAS Petaling Jaya.