Janda Baik, 7 September-Di dalam aspirasi pembangunan khazanah perfileman merangkumi komponen pembudayaan ilmu, sinema dan data industri, FINAS amat berbesar hati bekerjasama bersama primadona, karyawan dan lagenda perfileman tanahair, YBhg. Dato’ Rosnani Jamil untuk mempromosi dan memasarkan buku biografinya berjudul ‘Sumbangsih Primadona: Dato’ Rosnani Jamil, Dari Sungai Geringging ke Kota London’. Justeru, YBrs. En. Ahmad Idham Ahmad Nadzri, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS telah turun padang ke teratak seniwati ini di Janda Baik, Pahang untuk sesi menandatangani penyerahan biografi ‘Sumbangsih Primadona: Dato’ Rosnani Jamil, Dari Sungai Geringging ke Kota London’ daripada pihak Dato’ Rosnani Jamil kepada FINAS.

Turut disertai YM Raja Khairul Azman Raja Abdul Karim, Pengarah Pemasaran FINAS, para pegawai, dan anak Dato’ Rosnani yang juga merupakan penerbit, pengarah dan karyawan industri, En. Anwardi Jamil, buku yang ditulis sendiri oleh Dato’ Rosnani ini mengisahkan perjalanan dan perjuangan beliau dari awal penglibatan dalam dunia seni sebagai pelakon dari Jalan Ampas, sehinggalah muncul sebagai penerbit, penulis skrip dan pengarah wanita menerusi karya seperti Mawar Merah, Antara Dua Hati dan Memory.