Petaling Jaya, 5 Mac – Selepas kejayaan cemerlang dengan kutipan filem tempatan pecah panggung tertinggi melebihi RM18 juta melalui filem ‘Abang Long Fadil 2′, Pengarah Harapan FFM25, Syafiq Yusof mempertaruhkan genre aksi dan drama di dalam filem terbarunya bertemakan kepolisan, ‘KL Special Force’ terbitan Skop Productions, Damofa Productions dan Viper Studios.

Melalui gandingan segar oleh Datuk Rosyam Nor, Syamsul Yusof dan Fattah Amin selain Esma Daniel, Shaharudin Thamby, Mustaqim Bahadon, Tania Hudson, Josiah Hogan, Liza Abdullah, Sabrina Ali dan ramai lagi, filem yang mengangkat nilai perjuangan, persahabatan, pengorbanan dan kemasyarakatan ini menceritakan tentang sekumpulan unit khas PDRM yang diketuai oleh Roslan dan Zul yang berusaha untuk menjatuhkan sekumpulan perompak yang diketuai oleh Asyraff melalui pelbagai konflik dan cabaran. Filem ‘KL Special Force’ bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara, Brunei dan Singapura bermula 8 Mac ini.

Dihadiri penerbit, pengarah dan barisan pelakon, Malam Gala di mmCineplexes, e@Curve malam tadi turut disokong barisan tetamu kehormat iaitu YB Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak, Menteri Komunikasi dan Multimedia, YBhg. Datuk Yusof Haslam, penerbit Skop Productions, YBhg. Profesor Dato’ Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak, Naib Canselor Universiti Utara Malaysia, YB Dato’ Mohd Khusairi Abdul Talib, Pengerusi FINAS, YBhg. Dato’ Fauzi Ayob, Ketua Pengarah FINAS, YBhg. Dato’ Azmir Saifudin Mutalib, Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan FINAS, Tuan Haji Zulkifli Ab Wahab, Timbalan Ketua Pengarah Produksi dan Teknikal FINAS, Datuk Hajjah Rozzanamoon Dato’ Haji Rahmat dan Tuan Zahrin Hj. Aris, ahli-ahli Perbadanan FINAS, karyawan industri dan rakan-rakan media.

#KLSF
#KLSPECIALFORCE