Kuala Lumpur, 23 Disember – Majlis Malam Gala Anugerah Telenovela 2017 anjuran Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) telah dirasmikan oleh YB Datuk Haji Ahmad bin Haji Maslan, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia di PWTC pada malam ini yang turut menyaksikan penyampaian trofi kepada penerima 33 kategori anugerah yang telah dipertandingkan. Tujuan utama penganjuran majlis ini adalah untuk memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada penulis, penerbit dan warga kerja industri penerbitan buku yang berjaya menterjemah kandungan buku dalam pelbagai genre kepada layar perak atau diterbitkan dalam bentuk audio dan visual.

Objektif utama Majlis Anugerah Telenovela dilaksanakan adalah untuk menjayakan tiga komponen agenda ilmu yang utama melalui bidang kesusasteraan, sosioekonomi dan sosiopolitik. Secara khususnya, pencalonan bagi setiap kategori yang dipertandingkan memfokuskan naskhah-naskhah novel yang telah diterbitkan dan diadaptasi kepada filem, telefilem dan drama bersiri.

Merujuk kepada YB Datuk Haji Ahmad bin Haji Maslan, penterjemahan manuskrip buku kepada telemovie, filem dan drama berepisod di kaca televisyen sudah menjadi satu fenomena ketika ini seiring dengan perkembangan dunia seni digital dan perkembangan teknologi yang turut mengangkat naskhah percetakan sebagai sebahagian daripada kandungan dalam industri kreatif. Telenovela ini juga turut akan diperkembangkan ke negara-negara ASEAN yang lain dengan menjadikan Anugerah Telenovela ini sebagai salah satu platform bagi penanda aras untuk karya-karya tempatan ini dipertandingkan di peringkat ASEAN kelak.

Turut hadir ke majlis, YBhg. Datuk Dr. Ir. Mohd Abdul Karim Abdullah, Pengarah Urusan Serba Dinamik Holdings Berhad, YBhg. Tan Sri Prof. Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar, Pengerusi Panel Anugerah Buku Negara, YBrs. Haji Hasan Hamzah, Pengerusi Perbadanan Buku Negara, Encik Kamil Khan, Pengarah Anugerah Telenovela, presiden-presiden persatuan perfileman, tetamu kehormat industri, penggiat-penggiat seni, penerbit dan pengarah filem, penulis-penulis novel, para artis jemputan, rakan-rakan media dan jemputan yang lain.

Senarai pemenang Anugerah Telenovela:
1. Anugerah Novel Terbaik: 7 Hari Mencintaiku (SR Publication)
2. Anugerah Adaptasi Terbaik: Langit Cinta (Alaf 21 – Grup Buku Karangkraf Sdn. Bhd.)
3. Anugerah Telenovela Terbaik: Mr. Boss, Miss Stalker (Saphire Screen Sdn. Bhd.)
4. Anugerah Pelakon Wanita Terbaik: Mia Ahmad (Mr. Boss, Miss Stalker)
5. Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik: Ashraf Muslim (Mr. Boss, Miss Stalker)
6. Anugerah Novelis Terbaik: Siti Rosmizah (7 Hari Mencintaiku)
7. Anugerah Penulis Skrip Terbaik: Sofia J. Rhyland (Mr. Boss, Miss Stalker)
8. Anugerah Pengarah Terbaik: Heykal Hanifah (Mr. Boss, Miss Stalker)
9. Anugerah Penerbit Novel Terbaik: SR Publication (7 Hari Mencintaiku)
10. Anugerah Penerbit Telenovela Terbaik: Saphire Screen Sdn. Bhd. (Mr. Boss, Miss Stalker)
11. Anugerah Khas Juri
1. Pelakon Wanita Baru Terbaik: Faye Kusairi (Imam Mudaku Romantik)
2. Pelakon Lelaki Baru Terbaik: Redza Rosli (Seindah Takdir Cinta)
3. Langit Cinta (Astro Shaw & Nuansa Sdn. Bhd.)
4. Angin Cinta (Astro Shaw & Mermaid Studio Sdn. Bhd.)
5. Seindah Takdir Cinta (Zeel Production Sdn. Bhd.)
12. Anugerah Novel Popular: Suri Hati Mr. Pilot (Penerbitan Kaki Novel Sdn. Bhd.)
13. Anugerah Telenovela Popular: Suri Hati Mr. Pilot (Cube Film Sdn. Bhd.)
14. Anugerah Pelakon Wanita Popular: Noor Neelofa (Suri Hati Mr. Pilot)
15. Anugerah Pelakon Lelaki Popular: Fattah Amin (Suri Hati Mr. Pilot)
16. Ratu Telenovela Serba Dinamik: Emma Maembong
17. Anugerah Pelakon Lelaki Popular Kategori Filem: Zizan Razak
18. Anugerah Pelakon Wanita Popular Kategori Filem: Fazura
19. Anugerah Pelakon Lelaki Popular Kategori Drama: Aliff Satar
20. Anugerah Pelakon Wanita Popular Kategori Drama: Syatilla Melvin
21. Anugerah Pelakon Lelaki Prolifik: Kamal Adli
22. Anugerah Pelakon Wanita Prolifik: Emma Maembong
23. Anugerah Pelakon Lelaki Sensasi: Fattah Amin
24. Anugerah Pelakon Wanita Sensasi: Janna Nick
25. Anugerah Penerbit Best Seller: Penulisan Enterprise
26. Anugerah Pengarah Telenovela Prolifik: Michael Ang
27. Anugerah Penerbit Novel Prolifik: Penerbitan Karyaseni Sdn. Bhd.
28. Anugerah Penerbit Telenovela Prolifik: Global Station Sdn. Bhd.
29. Anugerah Penerbit Telenovela Paling Ramai Ditonton: Slot Akasia, TV3
30. Anugerah Stesen Penyiar Telenovela Paling Popular: TV3
31. Anugerah Stesen Penyiar Telenovela Prolifik: ASTRO
32. Anugerah Stesen Penyiar IPTV: Hypp TV
33. Anugerah Tokoh Veteran:
1. Primadona Telenovela: Seniwati Fauziah Nawi
2. Tokoh Penghibur Sepanjang Zaman: Hamid Gurkha
3. Seniwati Lagenda: YBhg. Dato’ Sri Maria Menado