Kota Kinabalu, 14 September- Di dalam aspirasi pembangunan modal insan untuk penerbitan kandungan berkualiti, FINAS menerusi Bahagian Pengurusan Produksi dan Unit Latihan Industri telah menganjurkan Bengkel Pra-Produksi: Pembangunan Aktor untuk para pelakon yang terpilih untuk projek-projek yang menerima Dana Kandungan Digital (Dana Produksi). Diterajui tenaga pengajar iaitu pelakon, karyawan industri dan guru seni persembahan yang dihormati, Puan Fauziah Nawi yang dibantu Puan Farah Ahmad sebagai mentor, seramai 26 orang pelakon telah hadir ke bengkel intensif ini di Universiti Malaysia Sabah (UMS) sebagai proses pemerkasaan ilmu menerusi eksplorasi watak, pembangunan karakter dan persediaan sebagai aktor sebelum mereka ke fasa penggambaran. Turut hadir ialah YBrs. En. Ahmad Idham Ahmad Nadzri, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS yang menyatakan kepentingan program jaringan ilmu ini untuk setiap pelakon bagi membantu proses penerbitan kandungan berkualiti menerusi aspek seni lakon.