Hulu Kelang, 12 Oktober 2019 – Filem dokumentari ‘M for Malaysia’ arahan Dian Lee dan Ineza Roussille telah dipilih secara rasmi bagi mewakili Malaysia dalam kategori Filem Cereka Antarabangsa Terbaik pada Anugerah Akademi ke-92 (Oscar). Keputusan pemilihan secara sebulat suara ini telah dibuat melalui ahli-ahli yang hadir pada mesyuarat Jawatankuasa Festival Filem Antarabangsa di bawah kelolaan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) pada 30 September 2019 yang lalu.

Dijadualkan berlangsung pada 9 Februari 2020, terdahulunya, filem-filem yang mewakili Malaysia bagi kategori ini sebelum ini di Anugerah Akademi ialah Puteri Gunung Ledang (2005), Bunohan (2013), Lelaki Harapan Dunia (2015) dan Redha (2017). ‘M for Malaysia’ yang berkonsep cereka dokumentari ini mengetengahkan kisah perjuangan Perdana Menteri Malaysia, Tun Mahathir Mohamad (Tun M) bersama Pakatan Harapan sewaktu memenangi Kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

Filem ini juga telah mewakili Malaysia ke siri festival filem antarabangsa pada tahun ini termasuklah Busan International Film Festival, Korea; Centre for Asian American Media Festival 2019 (CAAMFest37) di San Francisco, Amerika Syarikat dan DocEdge di New Zealand. Dokumentari ini juga telah ditayangkan secara eksklusif di pawagam terpilih di seluruh negara dari 12-25 September 2019.

Unit Komunikasi Korporat FINAS
12 Oktober 2019