Petaling Jaya, 31 Ogos – Filem ‘One Two Jaga’ arahan Nam Ron yang telah berjaya mewakili negara ke beberapa buah festival filem antarabangsa seperti 20th Udine Far East Film Festival, Itali; 21st Shanghai International Film Festival, China dan calon akhir bagi kategori Filem Cereka Terbaik di 17th New York Asian Film Festival, Amerika Syarikat, filem ini akhirnya bakal menemui penonton di pawagam tempatan seluruh negara bermula 6 September 2018 ini. Diterajui Bront Palarae & Rozi Izma sebagai penerbit di Pixel Play Entertainment dan Joanne Goh (Jazzy Pictures), satu majlis gala bagi filem tersebut telah diadakan di TGV One Utama hari ini dengan kehadiran tetamu kehormat, YB Tuan Gobind Singh Deo, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).

Dibintangi Zahiril Adzim, Rosdeen Suboh, Amerul Affendi, Iedil Putra, Chew Kin Wah serta bintang Indonesia, Ario Bayu dan Asmara Abigail dan ramai lagi, filem ini meneroka sisi gelap berkaitan rasuah, korupsi dan jenayah serta konflik kemanusiaan sejagat yang menghantui masyarakat. Turut bersama-sama hadir menyokong majlis ini termasuklah YB Tuan Nik Nazmi Nik Ahmad, Ahli Parlimen Setiawangsa, YB Tuan Fahmi Fadzil, Ahli Parlimen Lembah Pantai, YBhg. Dato’ Fauzi Ayob, Ketua Pengarah FINAS, barisan penerbit, pengarah dan pelakon filem, para penggiat seni tempatan dan antarabangsa, rakan-rakan media dan pencinta filem.