Bukit Mertajam, 8 September – Majlis Pelancaran Raikan Malaysiaku ‘My Merdeka’ bersempena Bulan Kebangsaan 2019 telah dirasmikan oleh Exco Pertanian dan Industri Asas Tani Pulau Pinang, YB Dr. Afif Bin Bahardin di Pusat Membeli Belah Mydin, Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Program yang berlangsung pada 6 hingga 8 September lalu dianjurkan Jabatan Penerangan Malaysia sebagai platform promosi dan komunikasi kerajaan kepada rakyat Malaysia bagi memperkasakan semangat sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini.

Melalui platform pameran kreatif oleh agensi-agensi dan rakan strategik, FINAS telah menyediakan program-program menarik di dalam menjana pembangunan komuniti filem industri seperti ‘#LensaNegaraku’ iaitu tayangan filem cereka dan dokumentari tempatan mengenai kenegaraan, ‘#FilmNovaTech’ iaitu pameran audiovisual kandungan dengan teknologi restorasi dan pendigitalan, ‘#EkplorasiSinema’ yang memberi ruang pengunjung meneroka data dan informasi Sinema Malaysia, ‘#PromoSinema’ yang mempromosikan filem-filem tempatan terbaharu seperti Sangkar dan Wangi serta ‘#BakatSkrin’ sebagai platform eksplorasi bakat industri bersama penerbit dan pelakon Sharifah Shahora. Selain itu, program turut mempromosikan buku dan perkhidmatan yang ditawarkan melalui platform ‘#LensaFINAS’. Turut hadir ketua-ketua jabatan dan agensi serta orang ramai.