Kuala Lumpur, 17 Oktober – Setelah hampir 13 tahun filem Gol & Gincu menemui khalayak, kini Red Films muncul dengan jenama filem tersebut yang diberi nafas baharu, “Gol & Gincu Vol.2” arahan sulung Umi Salwana Omar dengan mengekalkan peranan Sharifah Amani sebagai Jijie dan Sazzy Falak sebagai Sasha. Bertunjangkan kekuatan wanita dan kepelbagaian karakter yang berhadapan cabaran kehidupan, persahabatan dan kemasyarakatan, filem yang diiilhamkan oleh penulis asal filem Gol & Gincu, Rafidah Abdullah ini turut mendapat sentuhan segar oleh novelis terkenal, Nadia Khan dengan pemaparan kisah warna-warni pelajar universiti yang berhadapan konflik dan ego sesama sendiri yang menguji dunia mereka yang turut dihambat isu penggunaan media sosial yang serius.

Dibintangi barisan pelakon seperti Datin Diana Danielle, Ummi Nazeera, Sharifah Amani, Sazzy Falak, Syafiq Kyle, Aedy Ashraf serta bakat-bakat baru seperti Jad Hidhir, Intan Serah, Tiara Anchant, Nik Nasuhah, Annabel Michael, Grace Ng dan Iezahdiyana Alaudin, filem terbitan Red Films Sdn. Bhd. ini telah mengadakan tayangan khas dan sidang media di TGV, Sunway Putra Mall, Kuala Lumpur pada hari ini dan bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 25 Oktober 2018 ini.

Hadir sama pada sesi tayangan khas media ini adalah penerbit, Lina Tan, pengarah, Umi Salwana Omar, krew produksi Red Films Sdn. Bhd., barisan pelakon “Gol & Gincu Vol.2, dan rakan-rakan media.