Kejayaan filem pertama arahannya, ‘The Kid From The Big Apple’ memenangi 4 anugerah di Festival Filem Antarabangsa Macau ke 5 pada tahun 2015 , 2 anugerah di Festival Filem Malaysia ke 28 selain Lakonlayar Terbaik di Profima International Film Festival and Awards (PIFFA) 2017 baru-baru ini ternyata terus memberi tuah buat penerbit, pengarah dan karyawan wanita, Jess Teong apabila sequel kepada filem tersebut, ‘The Kid From The Big Apple 2: Before We Forget’ dicalonkan bagi kategori Filem Terbaik di edisi ke 9 Festival Filem Antarabangsa Macau.

Dipilih barisan juri profesional daripada 110 buah penyertaan, filem ‘The Kid From The Big Apple 2:Before We Forget’ menjadi wakil tunggal Asia Tenggara bersama 7 filem antarabangsa lain termasuklah filem India kedua terlaris sepanjang zaman, Bahubali 2, The Founding of An Army (China), Old Beast (China), A Loner (China) dan 77 Days (China). Menurut Jess, kejayaan menjadi finalis bagi kategori Filem Terbaik ini cukup membanggakan buat seluruh pasukan produksi kerana terpilih bersaing bersama karya berkualiti dari seluruh dunia.

‘The Kid From The Big Apple 2: Before We Forget’ yang ditayangkan 16 November 2017 yang lalu dibintangi oleh Ti Lung (Tommy Tam), Tan Qin Lin, Tan Jason, Debbie Goh, Shaun Tam dan Lenna Lim ini masih mengangkat nilai kasih sayang, kemanusiaan dan kekeluargaan yang diuji dengan konflik dan cabaran kehidupan di antara dua generasi.