Kuala Lumpur, 10 Ogos- Malam Gala Filem Abang Long Fadil 2 terbitan Skop Productions & Astro Shaw yang berlangsung meriah di GSC Pavilion, Kuala Lumpur dengan kehadiran tetamu kehormat YB Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Filem komedi aksi arahan Pengarah Harapan FFM25, Syafiq Yusof ini mengisahkan Fadil yang jatuh ke dunia mafia yang diketuai oleh Taji Samprit dan anaknya Wak Doyok. Insiden menyebabkan Inspektor Wahab dan Inspektor Shuib mengesyaki Fadil sebagai Tiger, pembunuh profesional dan bermulalah episod beliau untuk membersihkan namanya.

Selain barisan pelakon yang hadir iaitu Zizan Razak, Dato’ AC Mizal, Wak Doyok, Shuib Sepahtu, Mas Khan dan Tania Hudson, ia turut diserikan dengan kehadiran YB Dato’ Mohd Khusairi Abdul Talib, Pengerusi FINAS, Dato’ Fauzi Ayob, Ketua Pengarah FINAS, Dato’ Yusof Haslam, Penerbit Skop Productions, Najwa Abu Bakar, Ketua dan Naib Presiden Astro Shaw, pihak media, karyawan industri dan barisan tetamu jemputan. Filem Abang Long Fadil 2 bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 24 Ogos 2017.