Kuala Lumpur, 20 Mac – Membawakan filem bergenre komedi, syarikat penerbitan baru Rangkaian Melati Production Sdn Bhd tampil dengan karya ‘Enjin No.9’ arahan pengarah Raja Azmi Raja Sulaiman.

Filem yang mengangkat nilai seni dan muzik yang popular sekitar tahun 50an sehingga 60an melalui plot penceritaan santai komedi ini menampilkan pelakon utama Kazar, Datin Fadilah Mansor, Sharifah Shahira, Abon, Dottie, Qazim Nor, Ayunie Harris dan Hafiz Bahari. Tajul Arif dan Bila AF juga buat pertama kalinya turut ditampilkan sebagai barisan pelakon dalam filem ini. Menjalankan penggambaran di Pahang dan Negeri Sembilan, filem edaran MIG Pictures Sdn Bhd ini amat menghiburkan penonton dengan babak-babak komedi yang bersahaja dan disampaikan secara terus.

Raja Azmi dalam ucapannya juga amat berterima kasih kepada semua tenaga produksi yang telah bertungkus lumus dalam menjayakan filem ini.

Bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 29 Mac 2018, majlis pratonton filem ini telah diadakan di GSC Cinemas Midvalley, turut dihadiri Datuk Hasan Al Malik, Tengku Azalli Tengku Sulaiman, para penerbit filem, barisan karyawan, rakan-rakan artis dan pihak media.