Hulu Kelang, 11 Nov – Filem Terbaik Festival Filem Malaysia ke 29 (FFM29) ‘Adiwiraku’ terbitan Sol Pictures Sdn Bhd, Iceberg Design Sdn Bhd & Filmmecca Studio Sdn Bhd arahan Eric Ong yang berinspirasikan kisah benar perjuangan seorang guru, Teacher Cheryl Fernando di SMK Pinang Tunggal membina keyakinan diri dan potensi para pelajarnya melalui platform pertandingan ‘Choral Speaking’ telah diapresiasikan melalui program Meneroka Makna Filem anjuran Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) dengan kerjasama FINAS hari ini.

Melalui platform sinergi ilmu di antara pembikin dan karyawan, Eric Ong (Penerbit dan Pengarah) dan Jason Chong (Penulis), mereka telah berkongsi mengenai aspirasi , falsafah, pembikinan dan cabaran di dalam penerbitan filem ‘Adiwiraku’. Menurut Eric, selain cabaran kewangan dan proses penggambaran, ia tidak pernah mematahkan semangatnya untuk merealisasikan kisah yang memberi insipirasi kepada masyarakat tentang perjuangan seorang guru. Tambah Jason, pemenang anugerah Cerita Asal Terbaik di FFM29 tentang perbezaan ‘Adiwiraku’ dengan karyanya sebelum ini yang bersisi gelap seperti Belukar dan Dendam Orang Mati, filem ini mengangkat feminisme dan psikologi manusia melalui penceritaan yang lebih dekat dengan sosio budaya masyarakat mengenai perjuangan seorang pendidik.

Mencipta kejayaan mutlak di Festival Filem Malaysia (FFM29) dengan merangkul tiga kategori utama iaitu Cerita Asal Terbaik (Jason Chong), Pelakon Wanita Terbaik (Sangeeta Krishnasamy) dan Filem Terbaik, ‘Adiwiraku’ telah menjelajah dunia dengan menembusi slot ‘Crosscut Asia’ bagi filem dari negara-negara Asia pada Festival Filem Antarabangsa Tokyo ke 30 di Jepun yang lalu selain mewakili Malaysia di Phoenix Film Festival Melbourne 2017, 11th Asia Pacific Screen Awards di Australia dan Malaysian Film Festival-Singapore (MFFSG17).

Program apresiasi dan diskusi filem bersama pembikin ini adalah merupakan salah satu aktiviti program yang telah disusun melalui kerjasama strategik di antara FINAS dan FDAM dalam memperkasakan aspek pembangunan dan integrasi ilmu melalui perkongsian dan rujukan karyawan-karyawan filem tanahair. Diskusi interaktif dua hala ini telah meneroka visi, falsafah, teknik, aspirasi, cabaran, proses, pembikinan dan kritikan dalam filem ini di mana setiap pandangan, kritikan dan pertanyaan telah diperbincangkan melalui spectrum “intellectual discussion” bagi membina jaringan ilmu dan kefahaman dalam sesebuah filem. Turut hadir di dalam Program Meneroka Makna Filem ini adalah Tn.Hj. Abdul Khalid Maulod, Pengarah Pembangunan Industri FINAS, Tn. Syed Zul, Timbalan Presiden FDAM, AJK-AJK FDAM, penerbit dan pengarah, U-Wei HjSaari, karyawan industri dan para pencinta filem.