Hulu Langat, 26 Ogos – YBhg. Dato’ Fauzi Ayob, Ketua Pengarah FINAS merasmikan Majlis Pelancaran Penutup dan Penyampaian sijil kepada peserta-peserta Bengkel Lakonan & Penerbitan anjuran Zaramiz Sdn. Bhd dengan kerjasama Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) dan Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) dan turut disokong oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bertempat di Agrotek Garden Resort, hari ini.

‘Selaras dengan peranan FINAS di dalam aspek pembangunan kreativiti dan inkubasi bakat industri, sinergi bersama pihak persatuan dan penggiat industri akan terus menjana usaha memperkasakan karyawan pelapis melalui elemen mentoring kepada para peserta’ ujar beliau di dalam ucapan perasmian.

Bengkel interaktif yang telah memberi pengalaman kepada 25 orang peserta dengan eksplorasi ilmu, teknik, latihan teori, amali lakonan, tugas-tugas belakang tabir termasuk tugas-tugas teknikal yang melibatkan pra dan pasca produksi bagi projek filem ‘Suluk’ ini adalah di bawah bimbingan pengarah YBhg. Datuk Abdul Rahim Awang yang juga telah diadaptasi daripada novel ‘Suluk’ karya beliau sendiri.

Majlis penyampaian sijil kepada para peserta telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Fauzi Ayob, Ketua Pengarah FINAS bersama-sama Tuan Hj. Othman Hafsham, Presiden Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM), Encik Rozaidi Jamil, Presiden SENIMAN, YBhg. Datuk Abdul Rahim Awang, para penggiat seni, dan peserta bengkel.