Kuala Lumpur, 8 Disember – Kuala Lumpur Film School (KLFS) dengan kerjasama Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) telah berkerjasama hari ini di dalam penganjuran program perkongsian ilmu dan pembangunan apresiasi sinema, Bicara Filem KLSF: Perspektif Pembikin Filem (Siri Pengarahan Filem) yang diterajui oleh pengarah dan karyawan filem, U-Wei Hj Saari di KLFS, Wangsa Melawati.Menampilkan filem ‘Desolasi’ arahan Syafiq Yusof yang turut hadir bagi sesi perkongsian ilmu dan apresiasi sejurus tayangan, filem ini telah dikupas secara ilmiah daripada perspektif pembikinan dan pengarahan, falsafah, cabaran, aspirasi dan impak kepada penonton.

Menggabungkan elemen spiritual dan sains fiksyen bernaratifkan pencarian Aiman mengenai takdir dan kehidupan, filem ‘Desolasi’ yang merangkul Anugerah Khas Juri di Festival Filem Malaysia ke 29 ini dibintangi oleh Syamsul Yusof, Bella Dally, Pekin Ibrahim, Dato’ Jalaluddin Hassan dan ramai lagi.

Turut hadir pada program Bicara Filem ini adalah para karyawan filem dan penggiat industri, pensyarah dan pelajar perfileman serta khalayak filem.