Kuala Lumpur, 15 September – Kuala Lumpur Film School (KLFS) dengan kerjasama Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) sekali lagi berganding bahu menganjurkan program perkongsian ilmu dan pembangunan apresiasi sinema melalui program Bicara Filem KLSF: Perspektif Pembikin Filem (Siri Pengarahan Filem) yang diterajui oleh pengarah dan karyawan filem, U-Wei Hj Saari di KLFS, Wangsa Melawati.

Menampilkan filem Luqman arahan Pengarah Terbaik FFM12, Dr. Mahadi J Murat yang turut hadir bagi sesi perkongsian ilmu dan apresiasi sejurus tayangan, filem ini telah dikupas secara ilmiah daripada perspektif pembikinan dan pengarahan, falsafah, cabaran, aspirasi dan impak kepada penonton.
Filem yang bergenre drama ini membariskan pelakon seperti Wan Hanafi Su, Raja Ilya dan Joseph Hogan. Turut hadir di program Bicara Filem para karyawan filem dan penggiat industri, pensyarah dan pelajar perfileman serta pencinta filem.