Hulu Kelang, 18 November – Program Asia Director Talk yang dianjurkan oleh Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) dan Cultural Center Embassy of The Islamic Republic of Iran dengan kerjasama Unit Latihan Industri FINAS telah berlangsung di Pawagam Mini P. Ramlee, FINAS Hulu Kelang melalui platform sinergi ilmu dan pembangunan modal insan menerusi spektrum pemikiran karyawan antarabangsa.

Para tetamu disajikan ucapan dan sesi perkongsian dari En. Abolhassan Davoudi, seorang pengkritik filem sejak tahun 1968, penulis skrip, pengarah filem dan pengarah kepada Iranian House of Cinema di Tehran. Bersama-sama dengan beliau adalah Mohammad Ali Hossein Nejad, produser filem sejak tahun 1991. Program yang berlangsung ini memberi pendedahan kepada penggiat seni dan orang awam tentang industri perfileman dan pengalaman dari produser dan pengarah antarabangsa. FDAM turut memberi penghormatan dengan pengiktirafan melalui keahlian Ahli Kehormat kepada dua karyawan antarabangsa ini.

Program telah diserikan dengan kehadiran PYT Marzieh Afkham, Duta Iran ke Malaysia, Dato’ Fauzi Ayob, Ketua Pengarah FINAS, Tn.Hj.Othman Hafsham, Presiden FDAM, karyawan industri, para jemputan serta penggiat industri seni yang lain.