Kuala Lumpur, 19 Ogos-Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) hari ini sekali lagi menganjurkan program Kopi Kaw FDAM dengan topik ‘Karyawan Kita Gagal Tarik Penerbit Luar’ dengan panelis jemputan YBhg. Dato’ Fauzi Ayob, Ketua Pengarah FINAS serta penerbit, pengarah dan karyawan industri, YBhg. Datuk Yusof Haslam berserta moderator, En. Khalil Hj Saleh. Program jaringan ilmu dan sinergi industri ini telah membincangkan cabaran bagi karyawan industri filem tempatan untuk memperkukuhkan jenama, bakat, produk dan kepakaran di peringkat global daripada perspektif kerajaan dan penggiat industri.

Menurut Datuk Yusof Haslam, kegagalan itu bukan terma yang tepat kerana kejayaan-kejayaan anak tempatan sebelum ini di peringkat global termasuk filem-filem Malaysia yang dipasarkan di peringkat antarabangsa sehingga kini. ‘Namun yang demikian, kita harus realistik untuk terlebih dahulu untuk berjaya diterima di dalam negara’ ujarnya sambil memberi contoh fenomena kejayaan pecah panggung filem Hantu Kak Limah yang diterima baik penonton tempatan.

Mengupas topik berkaitan daripada perspektif FINAS sebagai badan kerajaan, Dato’ Fauzi Ayob yakin akan potensi dan kekuatan jenama Malaysia dan telah menggariskan cabaran daripada aspek ‘branding’ dan ‘visibility’ industri sendiri yang harus diperkasakan secara holistik di peringkat domestik dan antarabangsa. Ujarnya lagi, melalui halatuju baharu FINAS juga memberi penekanan kepada strategi pembangunan produk dan kandungan, pasaran, sistem dan perkhidmatan serta modal insan.

‘FINAS dengan kerjasama rakan strategik (Government to Government) seperti badan perfileman negara ASEAN akan terus meluaskan program jaringan ekonomi, galakan, pelaburan, pengedaran dan pemasaran kandungan selain program ‘Spotlight’ yang terus mempromosikan dan membantu filem-filem Malaysia di peringkat antarabangsa” tambah beliau yang yakin dengan kekuatan karya-karya dan karyawan Malaysia yang mampu menembusi dunia termasuklah memberikan mereka peluang di bawah program integrasi bakat.