Bersempena penganjuran Festival Filem Malaysia ke 30 (FFM-30), Pusat Kajian dan Apresiasi Filem sebagai rakan strategik FFM-30 dengan sokongan FINAS telah mengadakan program pembudayaan dan apresiasi sinema #WayangBudiman pada 23 dan 24 Mac 2019 yang lalu bertempat di PKAF, Shah Alam. Pelbagai program jaringan dan eksplorasi ilmu dan sinema bersama komuniti filem merangkumi tayangan dan apresiasi Filem Terbaik FFM-12, Sayang Salmah arahan Dr. Mahadi J Murat dan Filem Terbaik Malaysia FFM-28, Jagat arahan Shanjhey Kumar Perumal selain seleksi filem-filem pendek karya pembikin muda yang bertemakan sinema dan juga bacaan esei yang meneroka filem-filem Melayu era Studio turut diadakan iaitu:

Dua Filem Hussain Haniff sebagai Komedi Gelap: Masok Angin Keluar Asap dan Gila Talak
– Mohd Danial Abd Aziz

Bukan Catan Cinta Hitam-Putih: Aliran Seni Lukis dan Gerak Naratif Chinta Kaseh Sayang (1965)
-Azrin Fauzi

Filem Hang Jebat Arahan Hussein Haniff: Strukturalisme Genetik dan Terjemahan Intersemiotik
– Sayidah Mu’izzah Kamarul Shukri

Salah Faham Budaya Melayu dalam Filem Bergenre Seram 1950-1960an
– Dr Hani Salwah Yaakup