Kuala Lumpur, 27 Ogos – Pusat Kajian dan Apresiasi Filem dengan kerjasama Kelab Seni Filem Malaysia menerusi Program Wayang@Budiman sebagai platform jaringan ilmu dan pembangunan apresiasi sinema bersama komuniti filem terus aktif dengan menganjurkan tayangan dan bual santai filem Manila In The Claws Of Light. Tayangan yang bertujuan pendidikan ini telah diadakan di Kolej Seni dan Teknologi HELP, Kompleks Metro Pudu, Kuala Lumpur.

Diterajui Dr. Norman Yusoff, Ketua Program Pasca Siswazah, Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FITA) UiTM, Wong Tuck Cheong, Presiden Kelab Seni Filem Malaysia, Hassan Muthalib, pengkritik filem, pensyarah dan pelajar perfileman tempatan dan antarabangsa yang telah berkongsi pandangan dan perspektif mereka melalui apresiasi filem arahan Lino Brocka ini. Filem yang diterbitkan pada tahun 1975 ini mengisahkan seorang pemuda (Julio Madiaga), datang ke bandar Manila demi menjejaki kekasihnya (Ligaya Paraiso) yang tiada khabar berita setelah ditawarkan kerja. Julio yang mula bekerja sebagai buruh telah menyaksikan dan mengharungi pelbagai masalah sosial, penindasan terhadap orang bawahan dan kepincangan moral yang berlaku di bandar.