Kuala Lumpur, 18 Februari – Satu program ziarah kasih anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) telah diadakan sebagai tanda prihatin dan sokongan pihak kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan FINAS terhadap karyawan seni tanahair.

Armaya Aman Ramli atau lebih dikenali AR Badul sebelum ini pernah dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik menerusi filem Oh Fatimah dan Pelakon Lelaki Terbaik bagi filem Guru Badul di Festival Filem Malaysia ke-8 (FFM8) kini menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), akibat serangan jantung pada Ahad yang lalu.

Dihadiri YBhg. Dato’ Samsuni Mohd Nor, Pengerusi FINAS, beliau turut melahirkan rasa simpati dan memberi sumbangan kebajikan bagi membantu meringankan beban AR Badul. Turut hadir bersama YBrs. En. Khairul Azhar (Nik) Abu Bakar, Timbalan Ketua Pengarah FINAS dan Cik Atiqah Amira Mohd Noor, Penolong Pengarah Komunikasi Korporat.