Mencipta sejarah tersendiri memenangi 10 anugerah menerusi penyertaan di 21 buah festival filem antarabangsa sepanjang tahun 2016 dan 2017, filem ‘Redha’ karya Tunku Mona Riza terus terpilih mewakili Malaysia dengan membuka tirai kalendar 2018 dengan tayangan sebagai ‘Official Selection’ di International Spiritual Film Festival (ISFFI) yang berlangsung dari 19-23 Januari 2018 di Madhya Pradesh Tribal Museum dan State Museum, Bharat Bhavan di Bhopal, India.

“Syukur alhamdulillah, Redha diterima baik menerusi sambutan daripada penonton pelbagai lapisan masyarakat yang dapat menghayati nilai pengorbanan, perjuangan dan kasih sayang sesama insan menerusi subjek autisme yang cuba saya sampaikan” ujar Tunku Mona Riza yang hadir mewakili filem tersebut di sana di samping 27 buah filem antarabangsa lain karya pembikin dari India, UK, USA, Switzerland, Kanada, Thailand dan Malaysia yang meneroka konsep ketuhanan, kemanusiaan, kesedaran dan falsafah kehidupan menerusi teks dan visual sinema.