Petaling Jaya, 25 Oktober – Seramai 50 delegasi dari Southeast Asia Regional Branch Of The International Council On Archives (SARBICA) meraikan Sambutan Hari Audiovisual Sedunia 2018 dengan mengunjungi FINAS Petaling Jaya pagi tadi. Program Persidangan dan Seminar SARBICA yang berlangsung pada 23 hingga 26 Oktober ini membuka peluang kepada para delegasi untuk mendalami dan melihat aspek pemeliharaan dan pemuliharaan bahan-bahan perfileman yang dikendalikan oleh pihak FINAS.

Melalui platform kerjasama strategik antara FINAS dan Sekretariat SARBICA iaitu Jabatan Arkib Negara Malaysia, delegasi yang diketuai oleh Marietta R.Chuo, Timbalan Pengarah Eksekutif, National Archive of Philipines, turut berpeluang melawat ke pameran khazanah, teknologi dan inovasi perfileman termasuk pendigitalan dan restorasi kandungan. Selain itu delegasi juga telah menjana pengetahuan melalui program Eksplorasi Sinema mengenai perspektif sejarah pembangunan industri filem melalui Lensa FINAS yang merupakan program perkongsian ilmu mengenai aspirasi, fungsi dan strategi FINAS di dalam pemerkasaan industri.

Turut hadir dalam program sinergi ialah YBrs Puan Fairul Azida Shahabudin, Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan FINAS, En. Ahmad Syazli Muhd Khiar, Pengarah Dasar & Penyelidikan FINAS, para delegasi dan sekretariat SARBICA.