Shah Alam, 19 Oktober – Pusat Kajian dan Apresiasi Filem menerusi Program Tayangan dan Bual Santai Wayang@Budiman di Shah Alam kali ini terus hadir meneroka perspektif ilmu dan sinema menerusi Slot Realisme Getir Afrika dengan tayangan filem berjudul “Life, Above All”. Filem arahan pengarah Afrika Selatan, Oliver Schmitz sekitar tahun 2010 ini meneroka naratif tentang kesengsaraan manusia dan masyarakat dari lensa Chanda, kanak-kanak berusia 12 tahun yang cuba menyatukan keluarganya selepas kematian adiknya yang dijangkiti AIDS yang turut bergelut dengan sikap prejudis dan stigma masyarakat setempat.

Filem yang mengangkat tema kemanusiaan, perjuangan dan persaudaraan lakonan Khomotso Manyaka, Lerato Mvelase, Harriet Manamela, Keaobaka Makanyane, Mapaseka Mathebe, Thato Kgaladi, Tinah Mnumzana dan Aubrey Pooloini ini merupakan filem kontemporari Afrika Selatan yang memahat nama di sinema antarabangsa menerusi seleksi kategori Un Certain Regard di Cannes Film Festival 2010 selain mewakili Afrika Selatan bagi kategori Filem Bahasa Asing Terbaik di Anugerah Akademi ke 83. Ia juga turut berjaya merangkul beberapa anugerah di peringkat antarabangsa seperti Golden Horn Award, Dubai International Film Festival, Durban International Film Festival dan Berlin International Film Festival.

Program yang diterajui Dr. Norman Yusoff, Ketua Program Pasca Siswazah, Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FITA) UiTM ini telah dihadiri oleh pensyarah dan pelajar perfileman serta komuniti filem yang berkongsi pandangan dan perspektif mereka terhadap filem ini.