Shah Alam, 27 Januari – Pusat Kajian dan Apresiasi Filem (PKAF) telah menganjurkan program Temasya Wayang@Budiman hari ini. Program tayangan dan bual santai yang masuk tahun ke-4 ini diadakan dua (2) kali setiap bulan sebagai pencetus dan pemangkin kepada pelbagai pihak di seluruh negara untuk turut sama menggerakkan komuniti filem seterusnya membina budaya apresiasi filem dalam kalangan khalayak disekitarnya.

Pelbagai acara telah diatur oleh Dr. Norman Yusoff, Ketua Program Pasca Siswazah, Fakulti Filem, Teater & Animasi (FITA) UiTM, selaku pengatur acara seperti bacaan esei, tayangan filem cereka dan filem pendek, diskusi meja bulat dan banyak lagi. Filem-filem yang disajikan bukan sahaja dapat memenuhi selera dan pengalaman sinematik kita, tetapi juga berfungsi sebagai ‘jendela dunia’ yang menerusinya kita mengenali dan mempelajari tentang manusia, budaya dan kehidupan.

Antara figura yang hadir dalam program perkongsian dan sinergi ilmu ini ialah Hassan Muthalib (Pengkritik Filem), A Wahid Nasir (Penulis Skrip), Luqman Al-Jefri (Penulis Skrip), Zakaria Arifin (Sasterawan), Daniyal Kadir (Penulis & Pembikin Filem), Muz Amer (Pembikin Filem Bebas), Encik Kamal (Pensyarah UNIMAS) dan pelajar-pelajar perfileman.

Sebanyak 4 buah esei dibacakan pada sesi bacaan esei meliputi :

1) ‘Pendekar Bujang Lapok dan Sanshiro Sugata : Suatu Homaj P. Ramlee terhadap Karya Awal Akira Kurosawa’ (Fadli Akiti)

2) ‘Wanita sebagai Simbol Ancaman terhadap Maskuliniti dalam Melodrama Era Studio Merdeka’ (Mohd Sazni)

3) ‘Dr Rusdi – Yang Gelap dan Digelapkan’ (Muzammer Rahman)
4) ‘Dari Hantu Jerangkong ke Gergasi – Badan Grotes dalam Filem Melayu Era 1950-an’ (Ani Aziz)

Kumpulan esei ini akan diterbitkan dalam bentuk buku dalam masa terdekat.

Selain itu, sebuah tayangan khas filem pemenang anugerah ‘Shuttle Life’ arahan pengarah Tan Seng Kiat, yang pernah memenangi anugerah khas juri dalam Festival Filem Malaysia 2017 selain 7 anugerah di siri festival filem antarabangsa.

Pada sessi sebelah petang, satu sessi diskusi meja bulat yang membahaskan senarai Kanon 10 filem Malaysia sepanjang masa yang diperolehi dari undian dengan individu terpilih terdiri dari ahli akademik, penggiat dan sebagainya.

Acara kemuncak Temasya Wayang Budiman diakhiri dengan tayangan dan diskusi 9 buah filem pendek hasil karya ahli komuniti Wayang Budiman yang dibikin khas untuk tayangan bersempena acara ini.