Shah Alam, 25 Januari – Pusat Kajian dan Apresiasi Filem menerusi Program Tayangan dan Bual Santai Wayang@Budiman di Shah Alam hadir bagi meneroka perspektif ilmu dan pembangunan apresiasi sinema sentuhan sutradara Hong Kong, Stanley Kwan menerusi filem ‘Centre Stage’ (1991).

Filem yang merupakan mercu tanda Stanley Kwan ini berkisarkan tentang legenda dan primadona filem bisu di Shanghai era 1930-an. Penyimpangan terhadap struktur naratif tradisional serta gaya sinematografi dan suntingan yang inovatif dalam filem ini menjadikannya berkuasa dan melampaui sebuah genre biopik. Filem yang dianggap karya kanon ini menghimpunkan barisan pelakon hebat seperti Maggie Cheung, Han Chin, Tony Ka Fai Leung, Carina Lau, Waise Lee, Lawrence Ng, Cecilia Yip dan ramai lagi. ‘Centre Stage’ pernah memenangi anugerah di Golden Horse Awards (1991) menerusi kategori Best Leading Actress, Best Cinematography, Best Feature Film dan Best Director. 42nd Berlin International Film Festival (1992) bagi kategori Silver Bear for Best Actress, Chicago International Film Festival (1992) bagi kategori Silver Hugo Award for Best Actress dan di Hong Kong Film Awards bagi kategori Best Actress, Best Cinematography, Best Art Direction, Best Original Film Score dan Best Original Film Song.

Program yang diterajui Dr. Norman Yusoff, Ketua Program Pasca Siswazah, Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FITA) UiTM ini telah dihadiri oleh pensyarah dan pelajar perfileman serta komuniti filem yang turut berkongsi perspektif mereka terhadap filem ini.