Shah Alam, 30 November – Pusat Kajian dan Apresiasi Filem menerusi Program Tayangan dan Bual Santai Wayang@Budiman di Shah Alam kali ini terus hadir meneroka perspektif ilmu dan pembangunan apresiasi sinema menerusi Slot Nuansa Amerikana melalui filem ‘Drugstore Cowboy’. Sebuah filem ‘independent’ dari Amerika Syarikat yang mengutarakan pelbagai isu dan persoalan kemelut sosial, moral, ekonomi dan politik ketika era 1970-an.

‘Drugstore Cowboy’ hasil garapan Gus Van Sant merupakan pendedahan getir lagi provokatif yang menceritakan tentang kembara sekumpulan anak muda penagih dadah serta suka-duka dan pahit-manis kehidupan mereka di Pacific Northwest. Mereka mengembara dari satu pekan ke pekan yang lain dalam percubaan mencuri dadah dari kedai ubat-ubatan. Filem yang dibintangi William S. Burroughs, Kelly Lynch, Matt Dillon, Heather Graham, James LeGros, James Remar, Max Perlich, Grace Zabriskie, Beah Richards dan ramai lagi. Filem yang memaparkan budaya persaingan golongan belia dan kemelut moral ini telah meraih perhatian pengkritik dengan kejayaan meraih beberapa anugerah di Independent Spirit Award dan National Society of Film Critics Award sekitar tahun 1990.

Program yang diterajui Muzzamer Rahman, Programmer Pusat Kajian Apresiasi Filem ini telah dihadiri oleh pelajar perfileman serta komuniti filem yang turut berkongsi pandangan dan perspektif mereka terhadap filem ini.