Shah Alam, 2 November – Pusat Kajian dan Apresiasi Filem menerusi Program Tayangan dan Bual Santai Wayang@Budiman di Shah Alam kali ini terus hadir meneroka perspektif ilmu dan pembangunan apresiasi sinema menerusi Slot Rempah Ratus Mani Ratnam dengan tayangan filem “Nayagan” (1987). Filem arahan pengarah tersohor India, Mani Ratnam ini meneroka spektrum kemanusiaan dan perjuangan daripada naratif seorang remaja yang membesar di kawasan setinggan Dharavi, Bombay yang akhirnya menjadi ketua kumpulan penjenayah akibat tuntutan dan belenggu sosio politik, ekonomi dan budaya yang tidak adil.

Filem berinspirasikan kisah benar yang dibintangi bintang handalan Kamal Haasan, Saranya Ponvannan, Delhi Ganesh, Janagaraj, Karthika, Nassar dan ramai lagi ini turut menjadi salah satu representasi penting sinema India oleh para pengkritik apabila disenaraikan oleh Majalah TIME sebagai “All-Time 100 best films”, dan digelar “100 Greatest Indian Films Of All Time” oleh CNN-IBN selain turut merangkul beberapa anugerah di National Film Award sekitar tahun 1988.

Program yang diterajui Dr. Norman Yusoff, Ketua Program Pasca Siswazah, Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FITA) UiTM ini telah dihadiri oleh pensyarah dan pelajar perfileman serta komuniti filem yang berkongsi pandangan dan perspektif mereka terhadap filem ini.

wb