Hulu Kelang, 18 Disember 2018 – YB Tuan Gobind Singh Deo, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia telah melancarkan laman portal Malaysia Creative Industry Exhange (MCIX) di Studio Sound Stage, Kompleks Studio Merdeka petang tadi.

Portal MCIX merupakan inisiatif kerajaan melalui sinergi pihak Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) di dalam menyediakan sebuah platform direktori digital interaktif dan hab sehenti jaringan data utama industri kreatif negara merangkumi profil karyawan berdaftar, data perfileman, promosi dan pemasaran bakat dan perkhidmatan industri dan maklumat-maklumat lanjut berkaitan dengan industri kreatif yang boleh diakses secara atas talian untuk capaian seluruh dunia di laman sesawang www.mcix.my.

Majlis pelancaran MCIX turut diserikan dengan Majlis Penyampaian Sijil ‘Spotlight’ penghargaan pencapaian filem cereka tempatan di peringkat global bagi tahun 2018 yang telah disampaikan oleh YB Menteri. Sebanyak sepuluh buah filem cereka iaitu Redha, Shuttle Life, Adiwiraku, Sughammai Subbulakshmi, Thottam: The Garden, Interchange, Guang, A House of Happiness, Aqerat dan One Two Jaga yang diwakili penerbit dan pengarahnya telah menerima sijil penghargaan di atas pencapaian mereka di festival filem antarabangsa pada tahun ini.

Turut hadir pada majlis ini ialah YBhg. Dato’ Samsuni Mohd Nor, Pengerusi FINAS, YBrs. Tuan Shakib Ahmad Shakir, Pemangku Ketua Pengarah FINAS, ahli-ahli perbadanan FINAS, Ketua-ketua jabatan dan agensi, Pengerusi dan Presiden persatuan perfileman dan rakan-rakan media.