Subang Jaya, 16 Ogos – Majlis Pelancaran Raikan Malaysiaku ‘My Merdeka’ bersempena Bulan Kebangsaan 2018 pada hari ini telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN Subang Jaya) Yang Berhormat Puan Michelle Ng Mei Sze, di Pusat Membeli Belah Mydin, USJ Subang Jaya. Program yang dianjurkan Jabatan Penerangan Malaysia dengan kerjasama strategik pelbagai jabatan dan agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) seperti FINAS, RTM, MCMC, MDEC dan banyak lagi ini adalah sebagai platform komunikasi dan informasi kenegaraan kepada rakyat Malaysia bagi memperkasakan sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini.

Melalui platform pameran kreatif oleh agensi-agensi dan rakan strategik, FINAS telah menyediakan program-program menarik di dalam menjana pembangunan komuniti kreatif industri seperti ‘Intra-Sinema’ iaitu tayangan filem cereka, dokumentari dan pendek hasil sentuhan karyawan muda industri, ‘FilmNovaTech’ iaitu pameran audiovisual kandungan dengan teknologi restorasi dan pendigitalan, ‘EkplorasiSINEMA’ yang memberi ruang pengunjung meneroka sejarah industri filem negara berserta tayangan dokumentari melalui konsep terowong masa, ‘PromoSinema’ yang mempromosikan filem-filem tempatan terbaharu serta ‘LepakSkrin’ sebagai platform mencungkil potensi kreativiti pengunjung secara spontan melalui elemen ‘penulisan’, ‘pengarahan’ dan ‘lakonan’ di dalam sketsa pendek bersama karyawan industri. Turut hadir Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) KKMM, YBhg. Dato’ Samsuni Mohd Nor, Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, YBhg. Dato’ Ibrahim Abd Rahman, ketua-ketua jabatan dan agensi serta orang ramai.