Hulu Kelang, 30 April – YBrs. Encik Ahmad Idham Ahmad Nadzri, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS hari ini merasmikan dan menyampaikan cek Insentif Tayangan Filem Cereka (ITFC) kepada 8 buah syarikat produksi tempatan bagi sukuan pertama tahun 2019 di Majlis Penyampaian Insentif Tayangan Filem Cereka (ITFC) di Pawagam Mini P.Ramlee, FINAS sebentar tadi.

Penyerahan Insentif Tayangan Filem Cereka (ITFC) berjumlah sebanyak RM 1,087,814.81 ini telah diberikan kepada 8 buah syarikat produksi yang telah berjaya menerbitkan 8 buah filem cereka yang ditayangkan di bawah Skim Wajib Tayang. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, penyerahan ITFC ini merupakan inisiatif pihak kerajaan melalui FINAS di dalam menjana pembangunan industri filem melalui strategi galakan dan insentif kepada penggiat industri bagi menyuntik semangat selain mengukuhkan industri kreatif tempatan.

Majlis ini turut dihadiri oleh YBrs. En. Onn Norshal Hamzah, Pengerusi Skim Wajib Tayang, Tuan Haji Khalid Maulod, Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan, para penerbit filem, pengurusan tertinggi FINAS, dan para penerima insentif.