Kuala Lumpur, 12 Mac – FINAS telah menerima sejumlah 42 buah filem cereka merangkumi filem di dalam Bahasa Malaysia (25), Mandarin (8), Kantonis (2) dan Tamil (7) bagi penyertaan Festival Filem Malaysia ke-30 (FFM30) tahun ini. Dengan mempertaruhkan 27 anugerah termasuk 3 Anugerah Khas yang kesemuanya diberikan pada Malam Anugerah yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 30 Mac 2019 ini. Pengumuman ini telah dibuat dalam satu Sidang Media yang telah diadakan di Dorsett Hartamas, Kuala Lumpur hari ini.

FFM30 bakal bersiaran secara langsung di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) pada jam 9.00 malam, sebanyak 24 kategori merangkumi 18 kategori yang dipertandingkan iaitu Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Cerita Asal Terbaik, Penyunting Terbaik, Pelakon Lelaki dan Wanita Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki dan Wanita Terbaik, Pelakon Kanak-Kanak Terbaik, Pengarah Harapan, Pelakon Lelaki & Wanita Harapan, Sinematografi Terbaik, Skor Muzik Terbaik, Penataan Seni Terbaik, Penataan Bunyi Terbaik, Pereka Kostum/Busana Terbaik selain tiga anugerah khas juri, Penggiat Belakang Tabir, Filem Box Office dan Karyawan Sepanjang Zaman. Di antara filem-filem yang bakal bersaing melalui penyertaan pada FFM30 ini termasuklah Pulang, Polis Evo 2, KL Special Force, Mrs. K, Gol & Gincu 2, Munafik 2, The Spiral, KL Wangan, Paskal, Dukun, Tombiruo, Think Big-Big, One Two Jaga, Guang dan banyak lagi. Selain daripada acara kemuncak iaitu Malam Anugerah, FFM30 turut dimeriahkan dengan 20 program sisipan bermula 1 Mac 2019 dengan kerjasama 11 Persatuan Perfileman Malaysia dan rakan-rakan strategik seperti Pameran Interaktif Legasi FFM, Lensa Skrin FFM, Siri Jelajah Sinema, Seminar, Bengkel, Majlis Imbas Kembali dan Layar Bintang dan sebagainya.Turut diumumkan pada Sidang Media ini adalah hos Malam Anugerah FFM30 ialah Nabil Ahmad bersama gandingannya Adibah Noor dan barisan penyampai anugerah seperti Pekin Ibrahim, Liyana Jasmay, Izzue Islam, Dato’ Afdlin Shauki, Faizal Hussein, Zul Ariffin, Maya Karin, Fazura dan ramai lagi. Hadir sama pada Sidang Media FFM30 ini ialah YBhg. Dato’ Samsuni Mohd Nor, Pengerusi FINAS merangkap Penasihat FFM30, YBrs. Tuan Khairul Azhar (Nik) Abu Bakar, Timbalan Pengerusi Induk FFM30, YBrs. Tuan Haji Abd. Khalid Maulod, Pengarah FFM30, Puan Emarina Kamal, Pengurus Saluran Astro Ria, Cik Peggy Tan, Pengurus Besar Dorsett Hartamas, Kuala Lumpur, Presiden-Presiden Persatuan, para penggiat industri dan rakan-rakan media.
Maklumat lanjut berkaitan FFM30 boleh dilayari di www.finas.gov.my

#InspirasiSinemaku
#FestivalFilemMalaysia
#FFM30