Lahad Datu, 16 September-YBhg. Dato’ Hans Isaac hari ini telah merasmikan Max Cafe bersempena pembukaan pawagam komuniti pertama di Lahad Datu, Sabah iaitu Max Cinemas di Habour Town Lahad Datu. Sejajar dengan aspirasi FINAS bagi pembangunan sektor pemameran khususnya di kawasan luar bandar bagi merancakkan sosio ekonomi setempat, Pengerusi FINAS di dalam ucapannya turut menggariskan kepentingan pelaburan infrastruktur perfileman seperti pawagam komuniti ini bagi menjana impak ekonomi seperti peluang pekerjaan, pendapatan industri, ransangan industri hiliran serta percukaian. Beroperasi melalui empat dewan dengan 300 tempat duduk yang mana setiap satu dewannya berupaya menampung seramai 75 pengunjung pada satu masa, majlis ini turut dihadiri YBhg. Dr. Muhammad Ayup Yakub, Pegawai Daerah Lahad Datu, YBrs. En. Onn Norshal Hamzah, Ahli Perbadanan FINAS merangkap Pengerusi Skim Wajib Tayang, YBrs. En. Mohan Rao, Ahli Perbadanan FINAS, YBrs. En. Danson Foo, Pengarah Urusan Max Cafe, tetamu jemputan, komuniti filem dan pihak media.