Kuala Lumpur, 1 September – Kuala Lumpur Film School (KLFS) dengan kerjasama Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) telah berjaya menganjurkan program perkongsian ilmu dan pembangunan apresiasi sinema melalui program Bicara Filem KLSF: Perspektif Pembikin Filem (Siri Pengarahan Filem) yang diterajui oleh pengarah dan karyawan filem, U-Wei HjSaari di KLFS, Wangsa Melawati.

Menampilkan filem ‘You Mean The World To Me’ (2017) arahan Saw Teong Hin yang turut memenangi Anugerah Lakonlayar Terbaik dan Pelakon Harapan Lelaki di Festival Filem Malaysia 29 tahun lalu, Saw Teong Hin yang juga hadir sebagai panel jemputan bagi sesi perkongsian ilmu dan apresiasi sejurus tayangan filem ini, telah mengupas secara ilmiah mengenai perspektif pembikinan, pengarahan, falsafah, cabaran, aspirasi dan impak filem ini kepada penonton.

Filem yang diinspirasikan dari kisah benar pengarah Saw Teong Hin sendiri mengenai kompleksiti komunikasi, psikologi dan perhubungan manusia yang diterjemahkan melalui pengalaman beliau dan keluarganya ini dibintangi Frederick Lee, Neow Swee Lin, Steve Yap, Yeo Yann Yann, John Tan dan Chelsia Ng. Turut hadir di program Bicara Filem adalah para karyawan filem dan penggiat industri, pensyarah dan pelajar perfileman serta pencinta filem.