Kuala Lumpur, 21 Julai -Kuala Lumpur Film School (KLFS) dengan kerjasama Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) telah bekerjasama sekali lagi di dalam penganjuran program perkongsian ilmu dan pembangunan apresiasi sinema melalui program Bicara Filem KLSF: Perspektif Pembikin Filem (Siri Pengarahan Filem) yang diterajui oleh pengarah dan karyawan filem, U-Wei HjSaari di KLFS, Wangsa Melawati.

Menampilkan filem Redha (2016) arahan pengarah wanita, Tunku Mona Riza yang turut hadir bagi sesi perkongsian ilmu dan apresiasi sejurus tayangan, filem Redha ini telah dikupas secara ilmiah daripada perspektif pembikinan & pengarahan, falsafah, cabaran, aspirasi dan impak kepada khalayak tempatan dan antarabangsa.

Berinspirasikan kisah benar mengenai perjuangan, ujian dan pengorbanan ibu bapa di dalam membesarkan anak autisme, filem Redha terbitan Current Pictures Sdn Bhd dengan lakonan hebat Nam Ron, June Lojong, Nadiya Nisaa, Remy Ishak, Adik Harith Hadziq, Izzy Reef, Ruminah Sidek, Susan Lankester ini telah berjaya mengharumkan Malaysia dengan merangkul 11 anugerah di siri festival filem antarabangsa selain kejayaan di Festival Filem Malaysia 29 dan Anugerah Skrin 2016. Turut hadir di program Bicara Filem ini adalah karyawan filem dan penggiat industri, pensyarah dan pelajar perfileman serta pencinta filem.

#BicaraFilemKLSF
#ApresiasiSinema
#Redha