Petaling Jaya, 14 November -Ketangkasan dan semangat juang Inspektor Khai dan Inspektor Sani yang ditugaskan dengan misi untuk menumpaskan sekumpulan pengganas yang cuba menawan sebuah kepulauan dan menjadikan penduduk kampung sebagai tebusan akan dapat disaksikan menerusi filem Polis Evo 2 arahan gandingan pengarah muda Joel Soh dan Andre Chiew bermula 22 November ini di pawagam seluruh negara.

Diterbitkan Astro Shaw, Surya Citra Media (SCM) dan produksi oleh BlackFlag, sekuel kedua kepada filem Polis Evo yang telah mencipta fenomena pada tahun 2015 dengan meraih kutipan box office sebanyak 17.74 juta, filem aksi drama Polis Evo 2 ini dibintangi barisan pelakon tempatan dan luar negara seperti Zizan Razak, Shaheizy Sam, Raline Shah, Erra Fazira, Hasnul Rahmat, Mike Lucock, Tanta Ginting, Soffi Jikan, Syafie Naswip, Hairul Azreen dan ramai lagi.

Hadir sama dalam majlis tayangan perdana yang diadakan di MBO Starling Damansara malam tadi ialah YBhg Dato’ Khairul Anwar Salleh, Naib Presiden dan Ketua Bahagian Melayu dan Nusantara Kumpulan Kandungan Astro, pengarah, barisan tenaga produksi, para pelakon, rakan-rakan artis, media dan jemputan lain.