Kuala Lumpur, 13 November – Bersempena penganjuran Urbanscapes Festival 2018, Kelab Seni Filem Malaysia dan Cinephilia meraikan pembangunan jaringan ilmu menerusi tayangan dan apresiasi filem-filem tempatan yang telah menterjemah visual naratif dan lensa sinematik bandaraya Kuala Lumpur yang melatari dimensi cerita, konflik dan emosi para penghuninya.

Menampilkan filem ikonik arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba (1997), ‘Layar Lara’ sebagai homaj kepada era kegemilangan industri filem tanahair seketika dahulu dengan pertembungan nostalgia restoratif dan reflektif melalui mosaik naratif ‘proses pembikinan filem’ yang didukungi emosi dan konflik, ‘Layar Lara’ yang merakam naratif dan visual dramatik mengenai cinta, cita-cita, perjuangan dan pengorbanan insan seni ini dibintangi oleh Ida Nerina, Sidi Oraza, Man Bai, Azean Irdawaty, Maman, Kavita Sidhu, Melissa Saila dan ramai lagi. Selain merangkul 9 anugerah di Festival Filem Malaysia ke 13 termasuk Filem Terbaik dan Pengarah Terbaik, ‘Layar Lara’ juga telah mengembara ke sepuluh buah festival filem antarabangsa dan memenangi anugerah Pengarah Terbaik buat Datin Paduka Shuhaimi Baba di 19th Brussels International Independent Film Festival dan Anugerah Khas Juri di 6th Pyongyang International Film Festival pada tahun 1997.

Hadir sama pada sesi tayangan dan apresiasi di Urbanscapes House 2, Jalan Hang Kasturi ini ialah pengarahnya, Datin Paduka Shuhaimi Baba dan pelakon, Kavita Sidhu yang telah berkongsi secara dua hala mengenai aspirasi, falsafah, pemikiran dan pembikinan bersama khalayak dan para pencinta filem tempatan yang hadir.