Kuala Lumpur, 8 November – Bersempena penganjuran Urbanscapes Festival 2018, Kelab Seni Filem Malaysia dan Cinephilia meraikan pembangunan jaringan ilmu menerusi tayangan dan apresiasi filem-filem tempatan yang telah menterjemah visual naratif dan lensa sinematik bandaraya Kuala Lumpur yang melatari dimensi cerita, konflik dan emosi para penghuninya.

Menampilkan filem arahan sulung pembikin muda, Tan Seng Kiat, ‘Shuttle Life’ yang mengangkat konflik kemanusiaan dan interpersonal serta suara emosi anak muda Ah Qiang di kotaraya yang diuji cabaran dan tekanan hidup berkenaan ibunya yang mental dan perjuangan menyelesaikan pendaftaran kematian adiknya ini telah memenangi 8 buah anugerah di festival filem antarabangsa dan Anugerah Khas Juri di Festival Filem Malaysia ke 29. Dibintangi oleh Jack Tan, Angle Chan dan Sylvia Chang, filem yang meneroka dimensi realisme sosial ini menangkap bahasa visual ‘getir’ dan ‘perjuangan’ menerusi tanda-tanda semiotik yang melatari filem yang mendapat pujian pengkritik ini.

Hadir sama pada sesi tayangan dan apresiasi di Urbanscapes House 2, Jalan Hang Kasturi ini ialah pengarahnya, Tan Seng Kiat yang telah berkongsi secara dua hala mengenai aspirasi, falsafah, pemikiran dan pembikinan bersama khalayak dan para pencinta filem tempatan yang hadir.