Shah Alam, 28 Disember – Pusat Kajian dan Apresiasi Filem menerusi platform pembangunan apresiasi sinema dan jaringan ilmunya iaitu Wayang@Budiman telah menutup tirai 2018 dengan Slot Nuansa Amerikana.

Menghidangkan filem arahan Ang Lee; ‘The Ice Storm’ yang diadaptasi dari novel karya Rick Moody ini meneroka spektrum ‘gelora’ institusi kekeluargaan dan kemasyarakatan di pinggir bandar New Canaan, Connecticut, Amerika Syarikat pada awal 1970-an yang melangkaui sistem norma dan kesusilaan biarpun sedang meraikan nikmat hari ‘kesyukuran’. Filem yang sarat dengan konflik dan emosi manusia yang menggalas ‘topeng’ ibu, bapa, anak dan jiran ibarat ribut salji yang menghantui lanskap ini telah merangkul anugerah Lakonlayar Terbaik buat James Schamus di Cannes Film Festival pada tahun 1997.

Program yang diterajui Dr. Norman Yusoff, Ketua Program Pasca Siswazah, Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FITA) UiTM ini telah dihadiri oleh pensyarah dan pelajar perfileman serta komuniti filem yang turut berkongsi perspektif mereka terhadap filem ini.