Petaling Jaya, 14 Ogos-Di dalam strategi bagi pembangunan industri kreatif negara jangka panjang, FINAS dan Tourism Malaysia akan terus meneroka potensi kerjasama strategik melalui platform sinergi industri. Inisiatif bersama Ketua Pengarah FINAS, Dato’ Fauzi Ayob dan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Seri Mirza Mohammad Taiyab ini akan dimanifestasikan melalui potensi kerjasama strategik di dalam konteks pemasaran dan promosi kandungan tempatan dan destinasi di peringkat antarabangsa, perkongsian data dan maklumat industri, penjenamaan ‘cinematic tourism’, pembangunan kepakaran dan modal insan, dasar dan polisi, kerjasama produksi dan penganjuran program-program bersepadu.

Di dalam program sinergi industri yang diadakan di FINAS Petaling Jaya ini, delegasi juga telah berpeluang melawat pameran kandungan interaktif dan teknologi pendigitalan di bawah operasi Centre of Excellence. Turut hadir mewakili FINAS ialah Dato’ Azmir Saifuddin Mutalib, Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan, Tn. Hj. Mohd Zulkifli Ab.Wahab, Timbalan Ketua Pengarah Produksi dan Teknikal, Tn.Hj.Abdul Khalid Maulod, Pengarah Pemasaran, En.Ahmad Syazli Muhd Khiar, Pengarah Galakan Penggambaran serta pengarah-pengarah berkaitan. Delegasi Tourism Malaysia pula disertai Datuk Musa Hj Yusof, Pengarah Kanan Bhg Promosi Antarabangsa (Asia & Afrika), En Iskandar Mirza Mohd Yusof, Pengarah Bhg Komunikasi Korporat, En Manoharan Periasamy, Pengarah Bahagian Pembangunan Pakej dan Cik Jamilah Abdul Halim, Timbalan Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat.