Kuala Lumpur, 28 November – Sebagai tanda penghargaan kejayaan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) menganjurkan Program Pengukuhan Jaringan Strategik Merdeka 2018 bertempat di Pusat Konvensyen Sime Darby, Kuala Lumpur, malam ini.

Program telah disempurnakan oleh YB Tuan Gobind Singh Deo, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang juga berpeluang melancarkan ‘coffee table book’ bertajuk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2018 yang merupakan koleksi foto berinformasi sepanjang sambutan kemerdekaan tahun ini terbitan Jabatan Penerangan Malaysia. Selain itu, YB Menteri Komunikasi dan Multimedia juga berkesempatan menyampaikan hadiah kepada pemenang dan Anugerah Khas bagi Pertandingan Keceriaan Bulan Kebangsaan 2018 selain menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil-wakil agensi sebagai penghargaan usaha mereka menjayakan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2018.

YB Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia dalam amanatnya mengatakan tanggungjawab dalam menyemarakkan semangat cintakan Negara adalah bukan dibahu pihak Kerajaan semata-mata, tetapi dengan kerjasama strategik dan semua pihak agar dapat menghasilkan program-program yang berimpak tinggi dan memberi kesan kepada masyarakat. Sehubungan dengan itu, beliau berharap agar usaha baik dan jalinan ini akan kekal berterusan sehingga tahun-tahun akan datang.

Program ini telah diserikan dengan kehadiran YB Tuan Eddin Syazlee Shith, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, YBhg. Dato’ Dr. Mohd Ali Mohamad Nor, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan, rakan-rakan strategik daripada pelbagai agensi Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, sektor swasta, agensi media, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan.