PETALING JAYA, 3 April – Majlis Tayangan Perdana Filem Sindiket telah berlangsung dengan jayanya di MM Cineplexes, eCurve, Mutiara Damansara. Filem bergenre aksi arahan Bade Hj Azmi ini telah dihadiri oleh tetamu kehormat, YB Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Sindiket ini diterbitkan oleh Loyal Studio Sdn Bhd menampilkan barisan pelakon hebat seperti Sharnaaz Ahmad, Daphne Iking, Liyana Jasmay, Sharifah Amani, Rashidi Ishak, Tony Eusoff dan Soo Wincci serta beberapa pelakon dari Indonesia yang telah menjalani penggambaran sejak Jun 2013 di Pulau Sebatik, Kalimantan Indonesia dan Kundasang, Sabah.
Filem Sindiket memaparkan kisah pemerdagangan manusia dilihat antara jenayah yang cukup berkait rapat dengan kehidupan masyarakat di seluruh dunia. Sindiket yang mengisahkan Inspektor Rudy lakonan Sharnaaz Ahmad daripada Unit Khas D7 sentiasa berusaha keras membanteras kes pemerdagangan manusia.

Nantikan filem ‘Sindiket’ yang bakal menemui peminat filem di seluruh negara bermula 6 April 2017 ini. Marilah memberi sokongan padu untuk memartabatkan industri seni filem tempatan. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Pengerusi FINAS, Datuk Yusof Haslam, Encik Azmir Saifuddin Mutalib, Timbalan Ketua Pengarah FINAS, barisan pelakon dan pihak media.