Petaling Jaya, 5 Disember – Seramai 16 orang pelajar program antarabangsa dari Guizhou Polytechnic of Construction, China termasuk pensyarah pengiring, Puan Baizura dan 30 orang pelajar daripada Fakulti Pengurusan Maklumat, Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Puncak Perdana termasuk seorang pensyarah pengiring, Encik Kamarul Azwan Azman telah berpeluang menyertai Program Integrasi Ilmu dan Sinergi Industri di Kompleks FINAS Petaling Jaya pagi tadi. Melalui platform pembangunan komuniti industri, program seumpama ini memberi peluang kepada generasi muda membina jaringan dua hala bersama FINAS sebagai badan peneraju kemajuan industri filem Malaysia.

Selain lawatan berpandu ke Museum of Moving Image (MOMI) yang memaparkan khazanah perfileman, para peserta program juga turut berpeluang melihat dengan lebih dekat pameran peralatan perfileman serta berkunjung ke Negatif Room dan Makmal Warna P. Ramlee bagi mendalami pengetahuan dalam bidang restorasi dan pendigitalan kandungan.

Melalui sesi pembentangan korporat mengenai FINAS oleh Cik Atiqah Amira Mohd Noor, Penolong Pengarah Unit Komunikasi dan taklimat operasi projek Center of Excellence (COE) oleh Encik Mohd Zakri Zakaria, Penolong Pengarah Mediatheque para peserta telah diberi ruang untuk sesi soal jawab dan perkongsian interaktif.