Petaling Jaya, 26 Februari – Seramai 74 orang pelajar diiringi tujuh orang guru pengiring, dari MRSM Kampus Tun Abdul Razak, Perak berpeluang menyertai Program Integrasi Ilmu dan Sinergi Industri di Kompleks FINAS Petaling Jaya pagi tadi. Melalui platform pembangunan komuniti industri, program seumpama ini memberi peluang kepada generasi muda membina jaringan dua hala bersama FINAS sebagai badan peneraju kemajuan industri filem Malaysia.

Selain lawatan berpandu ke Museum of Moving Image (MOMI) yang memaparkan khazanah perfileman, para peserta program juga turut berpeluang melihat dengan lebih dekat pameran peralatan perfileman bagi mendalami pengetahuan dalam bidang restorasi dan pendigitalan kandungan.

Melalui sesi pembentangan korporat mengenai FINAS oleh Cik Atiqah Amira Mohd Noor, Penolong Pengarah Unit Komunikasi Korporat dan taklimat berkaitan MOMI yang disampaikan oleh En. Zakri Zakaria, Penolong Pengarah Unit Mediatheque, para peserta telah diberi ruang untuk sesi soal jawab dan perkongsian interaktif.