PETALING JAYA, 10 Oktober – Seramai 40 orang pelajar termasuk 2 pensyarah, En. Muhammad Hanafi Husop dan Puan Azura dari Jabatan Filem dan Animasi Digital, Kolej Kemahiran Tinggi MARA Rembau, berpeluang menyertai Program Integrasi Ilmu dan Sinergi Industri di Kompleks FINAS Petaling Jaya pagi tadi. Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan dan makluman berkaitan Museum of Moving Image (MOMI), Mediatheque dan E-Heritage selain daripada perkongsian maklumat berkaitan fungsi FINAS dalam memajukan industri kreatif negara di peringkat antarabangsa. Selain daripada itu, para peserta program juga turut berpeluang melihat dengan lebih dekat pameran peralatan perfileman serta berkunjung ke Negatif Room dan Makmal Warna P. Ramlee bagi mendalami pengetahuan dalam bidang restorasi bahan digital.

Hadir sama memberi taklimat berkaitan FINAS ialah Cik Khartini A Fatah, Pegawai Eksekutif Komunikasi Korporat dan taklimat pembangunan modal insan disampaikan oleh Cik Siti Noraiysha Masrudin, Penolong Pengarah Latihan Industri.